Social Media

Self-Love: Gratitude



Assalamualaikum dan hai semua,
Dina dulu jarang sekali bersyukur dengan apa yang Dina ada. Sampai satu tahap, Dina hilang orang yang benar Dina sayang. Dina ingat lagi, Dina sampai berkurung dan tidak makan selama sebulan. Dalam pada masa yang sama, pelbagai ujian lain yang menimpa Dina. Dina belajar untuk menyayangi diri Dina sepanjang tempoh perkara itu berlaku. Salah satu cara untuk menyayangi diri kita ialah dengan cara bersyukur. 

Kebiasaan yang Dina dengar, kita perlu bersyukur dengan segala rezeki dan nikmat yang Allah SWT berikan. Suatu hari ini, Dina ada terbaca satu artikel di mana dia ada tekankan untuk cuba bersyukur apabila kita ditimpa ujian. Selepas Dina baca, Dina duduk di meja belajar Dina. Dina ambil sehelai kertas dan sebatang pen. Dina mula berfikir apa yang Dina belajar dari setiap ujian yang menimpa Dina. Dina berhenti mempersoalkan kenapa ujian itu terjadi dan Dina ubah kepada apa yang Dina dapat daripada ujian itu. Selepas Dina senaraikan, Dina terus ada rasa sebak. Baiknya, Allah SWT tu sebenarnya kepada kita. Banyak sebenarnya Dina belajar daripada ujian yang menimpa Dina. Dina mula rasa bersyukur. Tanpa ujian itu, Dina tidak mungkin akan jadi diri Dina yang sekarang. Dalam pada masa yang sama, Dina belajar redha dengan apa yang jadi.

Kita boleh menangis sepuas hati kita nak. Dina sendiri merayu kepada Allah SWT berikan kekuatan untuk Dina lalui semua ini. Tapi jangan terlalu lama sehingga membuatkan kita patah semangat untuk teruskan hidup. Bila Dina cuba positifkan segala apa ujian yang terjadi pada Dina ini, Dina rasa lagi semangat untuk cuba berubah menjadi yang lebih baik. Bukan salah awak pun bila semua perkara itu terjadi. Maka, berhenti salahkan diri sendiri. Daripada mempersoalkan kenapa, lebih baik kita fahamkan dan perbaiki diri. Dina tahu awak penat. Tiada siapa cakap hidup ini mudah. Sebab itu awak kena kuat. Kita tidak tahu hikmah disebalik apa yang terjadi. Kita cuma mampu ambil iktibar dari apa yang terjadi dan bersyukur. Dina ada baca Aida Azlin cakap,"He tests you...to save you." Tertarik sungguh Dina dengan kata-kata tu. Itu pun salah satu perkara yang kita patut bersyukur. Sesungguhnya, Allah SWT itu yang Maha Mengetahui.

Bukan itu sahaja, kita juga boleh bersyukur dengan segala insecurities yang kita ada. Sejujurnya, Dina dulu benci bentuk badan Dina. Orang selalu mengata badan Dina kepeng, macam ikan bilis, macam papan dan banyak lagi. Tapi awak, sebenarnya dalam dunia ini tiada siapa yang sempurna dan kekurangan awak itu tidak menentukan siapa awak. Awak berisi tapi awak sihat. Alhamdulillah! Awak kurus tapi awak mampu makan tanpa perlu fikir masalah berat badan. Alhamdulillah! Banyak lagi perkara yang kita boleh bersyukur. Awak selalu sakit? Alhamdulillah, banyak dosa kecil awak terhapus. Doa mudah terkabul ketika sakit. Bila kita belajar bersyukur, secara perlahan kita akan mula menerima diri kita dan lebih menyayangi diri sendiri. Maka, sentiasa bersyukur. Dina ada baca satu buku ini dan Dina sangat suka ayat dia,"small flaws are intentionally built in as a humble acknowledgement that only God is perfect." Subhanallah. 

Salah satu cara untuk Dina nak pastikan Dina tidak terlepas satu hari pun untuk Dina rasa bersyukur, Dina mula beli sebuah buku untuk dijadikan jurnal. Dengan ada jurnal, buat Dina lebih bersemangat.  Dina ada bahagian khas untuk Dina tulis apa yang Dina bersyukur dalam hidup Dina. Setiap hari, Dina akan cuba cari satu atau dua untuk Dina bersyukur. Bila Dina buat teknik ini, Dina jadi lebih positif dan rasa segala rezeki yang Dina ada sebenarnya lebih daripada cukup. Dina pernah juga tengok video Neelofa kalau tidak silap. Dia ada cakap,"dalam doa kita sentiasa meminta, tapi kita tidak pernah cuba untuk bersyukur dalam doa juga." Sejak daripada itu, Dina belajar untuk bersyukur dalam doa juga. Bukan sekadar meminta. 

Dina dulu tidak faham kenapa bersyukur ini adalah sebahagian daripada menyayangi diri sendiri. Selepas Dina buat semua ini, Dina jadi lebih tenang dan mendorong Dina untuk ada fikiran yang positif. Sekarang, persoalan Dina semua terjawab. Bersyukur ini pun tidak ambil masa yang lama. Dalam 3 minit macam tu pun sudah mencukupi. Awak dapat tidur atas tilam yang empuk pun dikira salah satu nikmat yang awak boleh bersyukur. Mudah bukan? Mungkin awak boleh cuba juga nanti. Dina harap post ini dapat membantu sesiapa yang sedang memerlukannya.

Please, be nice to yourself.

Terima Kasih x

1 comment

  1. ujian adalah tanda Allah sayang kita.. dan tanda Dia rindu kita untuk kembali cariNya. jadi insyallah setiap ujian ada hikmahnya cepat atau lambat =)

    ReplyDelete

Instagram

Theme by BD